top of page

SPD Tech Valley perkukuh Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan

SPD Tech Valley perkukuh Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan

SEREMBAN: Pembangunan kawasan industri baharu SPD Tech Valley yang dilengkapi dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) di Senawang di sini akan mengukuhkan Negeri Sembilan sebagai pusat inovasi dan teknologi serantau.


Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata projek berkeluasan 211 hektar itu yang dibangunkan Seri Pajam Development Group dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM3 bilion, dijangka menjadi destinasi pelaburan utama kepada pelabur dalam dan luar negara.


Menurutnya, projek berteraskan infrastruktur berteknologi tinggi serta penggunaan teknologi hijau itu dijangka menjadi motor penggerak ekonomi baharu bagi negeri ini sekali gus berupaya mencipta lebih 40,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.


Ini termasuk melalui sektor pembuatan dan perkhidmatan serta kemasukan pelaburan asing dan tempatan yang menyumbang secara signifikan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri," katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah projek itu di sini, hari ini.


Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Seri Pajam Development Sdn Bhd, Ten Wee Seong.


Aminuddin berkata, pembangunan kawasan industri ini adalah berkonsepkan taman perindustrian terurus yang terdiri daripada kilang berasingan serta lot industri sederhana dan berat yang dilengkapi dengan jaminan keselamatan secara berpagar dan dikawal.


Berdasarkan rekod pelaburan tahun lalu, sebanyak RM10.1 bilion jumlah pelaburan berjaya diluluskan di Negeri Sembilan sekali gus sebagai pencapaian terbaik kerajaan negeri, katanya.


"Oleh itu, dengan wujudnya SPD Tech Valley, ia diharapkan akan memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi serta peningkatan jumlah pelaburan di negeri ini. Saya percaya kawasan ini mempunyai potensi sangat besar berikutan jaringan infrastrukturnya yang baik serta mempunyai hubungan akses lebuh raya," katanya.


Justeru, beliau menyeru pemain industri domestik dan luar negara mempertimbangkan untuk meneroka peluang pelaburan baharu yang disediakan di SPD Tech Valley, dengan kerajaan negeri akan sentiasa membantu termasuk dari segi kemudahan dan promosi.


Sementara itu, Wee Seong berkata SPD Tech Valley merupakan taman perindustrian terurus pertama di Negeri Sembilan, dengan kawasan perindustrian itu telah didaftarkan dan menjadi taman industri pertama di Asia Tenggara yang menerima pensijilan emas Kepimpinan dalam Reka Bentuk Tenaga dan Alam Sekitar (LEED).


"Kerja tapak untuk kawasan industri ini telah bermula dan akan dibina secara berperingkat, dengan fasa pertama dijangka siap dalam tempoh dua tahun," katanya.


Beliau berkata, komitmen syarikat terhadap pencapaian pensijilan LEED dan GreenRE (teknologi hijau) menunjukkan kesungguhan syarikat dalam membangunkan kawasan perindustrian yang memfokuskan kepada alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta berorientasikan ke arah keperluan pelabur.


Menurutnya, ia bukan sahaja menyediakan tanah dan kilang siap, malah dilengkapi dengan kemudahan seperti asrama pekerja berpusat yang menyediakan 5,000 katil, pusat komersial, pusat sokongan perniagaan yang dilengkapi dengan hotel serta fasiliti sukan.


"Selain itu, gudang pintar berkeluasan sejuta kaki persegi akan dibangunkan untuk mendukung keperluan pengendali dalam kawasan perindustrian ini," katanya.


Link berita: https://www.bharian.com.my/bisnes/hartanah/2024/05/1249492/spd-tech-valley-perkukuh-negeri-sembilan-sebagai-destinasi-pelaburan



SPD Tech Valley - Berita Harian - Negeri Sembilan, Malaysia

bottom of page